Wednesday, January 17, 2018
Utama > Buletin > FAZLEY DILANTIK SEBAGAI DUTA JAYA GROCER

FAZLEY DILANTIK SEBAGAI DUTA JAYA GROCER

Momen manis tertulis buat cef, penyanyi, personaliti televisyen, pelakon dan pakar motivasi, Dato’ Fazley Yaakob, 39, apabila dipilih sebagai duta pasaraya rantaian terkenal, Jaya Grocer dalam sebuah majlis pengumuman yang diadakan di The Starling Mall, Damansara Uptown, di sini semalam.


Jangan lupa like >>> Facebook ekselen.my <<<

Powered by ekselen.my


Selain mengumumkan pelantikan anak jati Negeri Sembilan itu sebagai jurucakap, Jaya Grocer turut memperkenalkan pusat sehenti beli-belah di atas talian bertujuan memberi kemudahan terbaik dan khidmat penghantaran efisien kepada pelanggan setia di kawasan kejiranan.

Menurut Fazley, beliau cukup berbesar hati terhadap pemilihan sebagai duta Jaya Grocer dan menganggap ia merupakan tanggungjawab baharu kerana secara tidak langsung, turut membawa wajah kepada variasi jenama produk yang dijual di pasaraya tersebut.

“Sejujurnya, tanggungjawab saya bukan sahaja sebagai cef. Pada waktu sama, saya juga menjadi jurucakap produk untuk peringkat antarabangsa selepas meraih kepercayaan tertinggi bagi mempromosikan Jaya Grocer.

“Untuk pengetahuan bersama, saya merupakan salah seorang pelanggan setia Jaya Grocer sebelum bergelar duta lagi. Bayangkan, hampir 99 peratus bahan masakan digunakan untuk memasak di restoran saya menggunakan produk yang terjual di sini,” kata beliau sambil berterus-terang mengenai pengalaman sendiri.

Dan ekstra menarik, Fazley turut berkongsi rencana beliau pada masa mendatang bagi memperkenalkan masakan tradisional Melayu seperti sambal tempoyak, cencaluk, budu serta lain-lain di persada antarabangsa.

“Hakikatnya, hidangan seperti ini sudah wujud di Perancis. Begitupun, bangsa luar jarang berpeluang bagi menikmati hidangan yang dikategori sebagai makanan diperam. Lantaran itu, saya punya ambisi tinggi melangit untuk menguar-uarkan bahawa menu di Malaysia bukan sekadar daripada nasi lemak.

“Masakan Malaysia terutama makanan Melayu autentik memiliki ciri khas; unik dan berbeza. Justeru, nilai berharga itu yang selalu saya tonjolkan setiap kali melakukan siri jelajah masakan di luar negara. Dan setiap kali saya melakukan demonstrasi menu masak lemak cili api, kebanyakan daripada mereka suka masakan itu termasuk rending campur,” ujar Fazley penuh teruja.

Dalam perkembangan lain, penulis buku resepi berjudul My Sucre Story itu akan memunculkan diri dalam program masakan popular bersiaran di serata pelosok dunia, Asian Food Channel tidak lama lagi.

Beliau juga bakal berangkat ke Chennai, India bertujuan menjalani sesi penggambaran rancangan travelog dan memasak hidangan India pada Oktober ini selama dua minggu.

Tidak dilupakan, bapa kepada tiga cahayamata itu baru diumumkan sebagai pemegang anugerah Alumni Paling Cemerlang sempena Majlis Gala Le Cordon Bleu Paris yang diadakan di kampus utama institut tersebut di sana pada 18 September lalu.

Selain itu, Fazley baru melancarkan video muzik lagu terbaharu beliau, Ketiadaan yang dipaparkan secara eksklusif di saluran penstriman terkenal, Joox sejak awal Ogos lalu. Dan tidak ketinggalan, ia turut dimuat naik di YouTube Fazley Yaakob.