Wednesday, January 17, 2018
Utama > Buletin > Acara > CINTA TERHADAP DUNIA KULINARI, DATO FAZLEY MUNCUL DENGAN BUKU MY SUCRE STORY

CINTA TERHADAP DUNIA KULINARI, DATO FAZLEY MUNCUL DENGAN BUKU MY SUCRE STORY

Pada 23 Mac lalu, cef selebriti popular, Dato’ Fazley Yaakob telah melancarkan buku My Sucre Story di restoran miliknya, SukaSucre Bistro di Kuala Lumpur. Menghimpunkan 35 buah resepi terdiri daripada masakan autentik berakar umbi dari desa tercinta di Rembau, Negeri Sembilan, manisan serta pastri klasik Perancis dan sajian kuliner berciri khas fusion Asia yang terdapat di SukaSucre Bistro, tiga teras utama ini dirangkumkan menjadi sebuah naskhah dwibahasa; My Sucre Story garapan sulung oleh Dato’ Fazley Yaakob sebagai buah tangan buat pencinta kulinari.


Jangan lupa like >>> Facebook ekselen.my <<<

Powered by ekselen.my


Buku ditampilkan memikat beserta gambar hidangan, bahan-bahan dan cara penyediaan menu, setiap halaman di dalam My Sucre Story terisi catatan personal bekas juara MasterChef Selebriti Malaysia itu dalam bidang kulinari bermula zaman berada di kampung sehingga menjadi seorang chef bertauliah seiring turut mengusahakan sebuah bisnes kulinari yang sukses.

Antara resipi yang dikongsi dalam naskhah ini; Daging Masak Lemak Cili Api, Ayam Pop Salai Dengan Sambal Hijau, Rendang Campur Negeri Sembilan, Donut Bersama Sos Santan Karamel, Beef Wellington Lemak Cili Api Bersama Kolak Campuran Buah Beri, Pavlova Pisang Bersama Pisang Goreng, Macaron Bertih Jagung Karamel Masin, Brioche Berperisa Limau Yuzu, Biskut Cawan dan Puteri Mandi.

Sementara itu, Sucre menterjemahkan definisi manis atau gula dalam bahasa Perancis. Signifikannya, ia menjadi simbol penghormatan Fazley yang menyambung pengajian dalam kulinari Perancis mengkhususkan manisan dan pastri di Le Cordon Bleu, Paris pada tahun 2013. Tidak terkecuali, ia berkisar beragam momen indah beliau sepanjang langkahnya untuk bergelar seorang chef hingga sekarang.

Tidak dinafikan, pelbagai pengalaman diraihnya kala melanjutkan pengajian dalam kursus Masters in Sugarcraf, United Kingdom pada tahun 2014 dan Diploma in Taste, Gastronomy, and Arts of The Table (University of Reims, Champagne-Ardenne, Perancis/2015).

Menurut chef tinggi lampai yang turut membawa gelaran penyanyi, pengacara serta personaliti TV, pelakon dan penceramah motivasi, My Sucre Story merupakan himpunan cerita perjalanan beliau seawal usia lima tahun ketika membantu nenda (gelaran kepada nenek) di kampung sehingga membesar apabila kerap menolong ibu di dapur lalu mendirikan rumah tangga dengan dikurniakan isteri yang rajin memasak.

“Selepas menang MasterChef Selebriti Malaysia dan kemudian mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran di Paris sehingga menjadi pelajar terbaik lalu kembali ke tanah air membuka SukaSucre Bistro, saya menggabungkan setiap cerita manis ini ke dalam sebuah buku resepi. Ia ibarat terjemahan dan definisi rasa cinta dalam dunia masakan supaya pembaca faham tujuan saya menggabung jalinkan masakan daripada nenda, ibu, isteri, Paris dan Bistro.

“Ada sinopsis dalam chapter tertentu sebagai satu langkah pembaca berasa lebih dekat dengan setiap resepi yang ditampilkan. Ia bersifat mudah menggunakan dwibahasa supaya orang Barat boleh belajar bahasa kita dan rakyat Malaysia juga dapat mempelajari bahasa mereka dalam rangkuman pengalaman manis bidang kulinari.” katanya yang juga merupakan Chef Eksekutif Kumpulan Rayz Bistro di Singapura ketika ditemui pada majlis pelancaran My Sucre Story berlokasi di SukaSucre Bistro di sini Khamis lalu.

Simbolik pelancaran buku ini telah dirasmikan oleh ibu Fazley, Datin Umi Kalsom Abdol Latib.

Dato Fazley Yaakob bersama ibu tersayang, Datin Umi Kalsom Abdol Latib

Fazley tidak ketinggalan menghimpunkan petugas media cetak, elektronik dan penulis blog yang selama ini tanpa lelah menyuntik sokongan dalam kariernya sepanjang bergelar anak seni serta chef dalam sebuah sesi beramah mesra santai berdurasi dua jam itu.

Dalam majlis sama, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu turut melakukan demonstrasi hidangan pencuci mulut, Cerita Coklatku. Ia merupakan rangkaian manisan, pastri dan buah-buahan segar yang menterjemahkan kecintaan beliau terhadap dunia kulinari.

Terdahulu, buku resepi yang terkandung 121 helaian ini dilancarkan di Paris pada Oktober 2015. Dan diikuti di Singapura pada Mac 2016.

Dan tiada yang lebih mengujakan buat pemilik SukaSucre Bistro serta sekolah masakan, SukaSucre Kitchen Studio itu apabila My Sucre Story diumumkan sebagai juara bagi kategori Buku Resipi Terbaik Dari Personaliti TV Luar Eropah bersempena Pertandingan Buku Resepi Antarabangsa yang diadakan di China pada 29 Mei 2016.

Fazley yang masih mengubat kerinduan ramai melalui alunan suara merdunya itu kini menyandang gelaran sebagai jurucakap serta wajah Panasonic Cooking, F&N King’s Ice Cream, San Remo Pasta, Kicap Mahsuri dan Mazola Oil.

My Sucre Story boleh didapati di seluruh cawangan MPH di Malaysia dengan harga RM39.90. Atau membeli secara atas talian dengan tawaran diskaun sebanyak 15 peratus (RM33.92).

Tidak hanya itu, Fazley akan memunculkan single terbaharu berjudul Ketiadaan ciptaan oleh Azlan Abu Hassan dan lirik Fazley sendiri yang dilancarkan tidak lama lagi. Single ini boleh didapati dan dimuat turun menerusi Spotify, iTunes dan Apple Music. Pada waktu sama, video muzik ini boleh ditonton di laman YouTube Fazley Yaakob dijadualkan dalam waktu terdekat ini.

FOTO: UPRISING ENTERTAINMENT SDN. BHD.